24 September 2008

Jam Dinding

Ada sekali tu ketua kampung orang asli telah dihadiahkan jam dinding oleh pihak tentera kerana menolong mereka dalam operasi. Alangkah bangganya ketua orang asli tersebut bila jam tersebut di gantungkan di depan pintu rumahnya dan orang kampung sering datang melihat jam tersebut seolah-olah barang hiasan kerana mereka pada masa tu tak tahu bagaimana menggunakan jam untuk melihat waktu.

Suatu hari anak ketua kampung tersebut memberitahunya yang jarum jam tu telah berhenti bergerak. Masa tu punyalah ramai anak buah dia kat halaman rumah sedang melihat jam tersebut.
Maka ketua kampung tu pun konon nak tunjuk terrorlah lalu dia pun menurunkan jam tersebut dari tempat penggantungan dan membelek-belek jam tersebut depan belakang. Beliau ternampak tempat bateri jam tersebut dan telah dengan tidak sengaja terkuis bateri itu terkeluar dari tempatnya.

Entah macam mana ada pulak bangkai seekor cicak di celah-celah tempat bateri tu...beliau pun dengan bangganya memberitahukepada anak-anak buahnya.

"OOOO...patutlah tak jalan. Drebarnya mati tershepittttt....!!"

Lailatuqadar

"Lepas basuh pinggan, ikut abah pergi masjid," kata abah separuh memerintah.

Aku memandang kepada emak. Emak angguk sahaja. Maksudnya emak mahu aku ikut abah solat subuh ke masjid. Jangan melawan. Nampaknya, aku kena batalkan niat untuk sambung tarik gebar selepas kenyang bersahur.

Aku bonceng di belakang. Kami tidak pakai helmet. Kopiah sahaja.

Ganjil. Dalam cahaya suram menjelang subuh, aku lihat kubah masjid berada di tanah. Bukan di bumbung masjid. Ajaib.
Abah macam tidak nampak keganjilan itu. Mata ku terpaku pada kubah masjid, kagum dan jari jemari ku sedikit mengigil kerana rasa kagum yang amat sangat. Aku cuit bahu dia dan tunjukkan ke arah kubah yang berada di tanah. Mungkin kubah itu tengah sujud fikir aku.

"Kenapa?" tanya abah.
"Lailatuqadar," kata aku dengan jari masih menunjuk kepada kubah...

"Berapa lama engkau tak ke masjid!!?" Tidak pasal-pasal aku kena marah. Rosak pengalaman suci aku ini. "Dia orang tengah renovate masjid la. Bumbung masjid bocor... Pasal tu kubah tu dia orang angkat letak kat tanah," sambung abah lagi.

Kalau emak ada di sini tentu dia ketawakan aku. Terima sahajalah. Jangan melawan. Kadang-kadang abah lupa yang aku tidak duduk kampung lagi. Aku cuma pulang untuk cuti raya.

21 September 2008

PERSETIAAN, FALSAFAH, DEFINISI DAN MATLAMAT PENGAKAP

Persetiaan Pengakap

Bahawa dengan sesungguhnya, saya berjanji dan bersetia, yang saya dengan seberapa daya upaya, saya akan:

Taat kepada Tuhan, Yang DiPertuan Agong dan Negara
Menolong orang pada setiap masa
Menurut Undang-Undang Pengakap

Falsafah Pengakap

Pergerakan Pengakap mempunyai tujuan untuk memberi latihan kepimpinan yang berasaskan Prinsip, Persetiaan dan Undang-Undang Pengakap ke arah mencapai nilai murni dan mengeratkan Persaudaraan Pengakap Antarabangsa tanpa mengira warna kulit, agama dan kebudayaan serta bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani dan jasmani dengan berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha dan amalan sedemikian adalah untuk memperkukuhkan disiplin dan akhlak diri, membentuk sifat bersopan santun, berbudi bahasa serta bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat untuk menuju ke matlamat akhir pergerakan supaya menjadi warga yang berguna kepada Agama, Bangsa dan Negara.

Definisi Pengakap

Pergerakan pengakap diertikan sebagai pergerakan sukarela, bebas daripada politik untuk melatih generasi muda, terbuka kepada semua tanpa mengira asal usul, bangsa dan kepercayaan agama selaras dengan tujuan, prinsip dan kaedah yang diasaskan oleh Baden Powell.

Matlamat Pengakap

Matlamat pergerakan pengakap adalah untuk melatih generasi muda bagi melahirkan individu yang berpotensi dari segi fizikal, intelek, sosial dan rohani serta bertanggungjawab terhadap masyarakatnya, negaranya dan seterusnya masyarakat antarabangsa.

10 September 2008

ANDAI INI RAMADHAN YANG TERAKHIR.....

ANDAI INI RAMADHAN YANG TERAKHIR


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu siangnya engkau sibuk berzikir

tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu

mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu

sholat yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawadhu'

tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri

menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji

"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"

[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...

kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu

setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja

di setiap kesempatan juga masa yang terluang

alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan



andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu malammu engkau sibukkan dengan

bertarawih...berqiamullail...bertahajjud...

mengadu...merintih...meminta belas kasih

"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU

tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"



andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang

mari kita meriahkan Ramadhan

kita buru...kita cari...suatu malam idaman

yang lebih baik dari seribu bulan



andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir

mempersiap diri...rohani dan jasmani

menanti-nanti jemputan Izrail

di kiri dan kanan ...lorong-lorong ridha Ar-Rahman

Duhai Ilahi....andai ini Ramadhan terakhir buat kami

jadikanlah ia Ramadhan paling berarti...paling berseri...

menerangi kegelapan hati kami

menyeru ke jalan menuju ridho serta kasih sayangMu Ya Ilahi

semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti



Namun teman...

tak akan ada manusia yang bakal mengetahui

apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya

yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah

berusaha...bersedia...meminta belas-NYA



andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita…
…..MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH KULAKUKAN…..