Showing posts with label Info Pengakap. Show all posts
Showing posts with label Info Pengakap. Show all posts

21 September 2008

PERSETIAAN, FALSAFAH, DEFINISI DAN MATLAMAT PENGAKAP

Persetiaan Pengakap

Bahawa dengan sesungguhnya, saya berjanji dan bersetia, yang saya dengan seberapa daya upaya, saya akan:

Taat kepada Tuhan, Yang DiPertuan Agong dan Negara
Menolong orang pada setiap masa
Menurut Undang-Undang Pengakap

Falsafah Pengakap

Pergerakan Pengakap mempunyai tujuan untuk memberi latihan kepimpinan yang berasaskan Prinsip, Persetiaan dan Undang-Undang Pengakap ke arah mencapai nilai murni dan mengeratkan Persaudaraan Pengakap Antarabangsa tanpa mengira warna kulit, agama dan kebudayaan serta bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani dan jasmani dengan berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha dan amalan sedemikian adalah untuk memperkukuhkan disiplin dan akhlak diri, membentuk sifat bersopan santun, berbudi bahasa serta bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat untuk menuju ke matlamat akhir pergerakan supaya menjadi warga yang berguna kepada Agama, Bangsa dan Negara.

Definisi Pengakap

Pergerakan pengakap diertikan sebagai pergerakan sukarela, bebas daripada politik untuk melatih generasi muda, terbuka kepada semua tanpa mengira asal usul, bangsa dan kepercayaan agama selaras dengan tujuan, prinsip dan kaedah yang diasaskan oleh Baden Powell.

Matlamat Pengakap

Matlamat pergerakan pengakap adalah untuk melatih generasi muda bagi melahirkan individu yang berpotensi dari segi fizikal, intelek, sosial dan rohani serta bertanggungjawab terhadap masyarakatnya, negaranya dan seterusnya masyarakat antarabangsa.